6 individu degil langgar SOP kuarantin wajib

106

1 OGOS: Masih ada lagi individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan terhadap enam individu mulai 27 Julai sehingga semalam kerana gagal mematuhi SOP kuarantin wajib di rumah.

Secara keseluruhan, menurut beliau, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 3,384 individu telah pulang ke tanah air dari 23 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 14 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara.

“Semalam, PDRM telah melakukan 2,271 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri memberitahu, PDRM telah menahan 134 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau menambah, daripada jumlah itu, seramai 19 individu telah direman manakala 22 individu dijamin dan seramai 93 individu pula dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 12 aktiviti pusat urut tanpa lesen, 33 aktiviti yang tidak mengikuti SOP, 88 aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan satu kes melanggar perintah pengawasan,” jelasnya.

Ismail Sabri berkata, PDRM juga telah membuat pemantauan SOP solat Jumaat di 2,294 masjid yang melibatkan 283,355 jemaah dan kesemuanya didapati mengikuti SOP yang ditetapkan serta mengikut saiz keluasan masjid.

Berhubung Operasi Benteng, beliau menjelaskan, PDRM telah membuat 63 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara semalam dan memeriksa 30,719 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.