SPR terima makluman DUN Sabah bubar

112

31 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam berhubung pembubaran DUN Sabah penggal yang ke-15.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, berdasarkan Perkara 21 (4), Perlembagaan Negeri Sabah, pilihan raya hendaklah diadakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

“Justeru, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.

“Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN setelah diperakukan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Tindakan itu dipercayai dilakukan setelah sokongan majoriti memihak kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang mendakwa gabungan politik baharu yang diketuai beliau layak membentuk kerajaan negeri. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.