PRK DUN Slim: BN umum calon 12 Ogos

81

31 JULAI: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PDRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, BN Perak telah mengemukakan senarai pendek calon kepada Ibu Pejabat UMNO Selasa lalu untuk pertimbangan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kalau di Chini kita ada calon muda tapi kita kena tengok juga ada faktor wanita, faktor umur, faktor orang lama, jadi soal calon ini yang penting apa yang sesuai untuk masyarakat di situ. Yang penting boleh berkhidmat dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai solat sunat Aidiladha dan ibadah korban di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, di Kampung Sungai Penchala di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak mengesahkan akan memberi laluan dan menghulurkan sokongan penuh kepada UMNO untuk bertanding pada PRK itu.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu pihaknya gembira kerana persiapan awal bagi menghadapi PRK DUN Slim mendapat maklum balas yang positif ketika mengadakan mesyuarat bersama barisan kepimpinan BN dan Perikatan Nasional (PN).

“Saya telah pun mempengerusikan mesyuarat BN Perak yang turut dihadiri oleh Pengerusi UMNO, MCA dan MIC Perak dan mereka pun telah beri laporan persiapan awal. Alhamdulillah baik.

“PN dan BN mempunyai jentera yang berpengalaman… Jadi takda satu masalah cuma perlu sebagai satu pemantauan,” katanya.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang, Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh pengundian manakala 15 Ogos bagi penamaan calon dan 25 Ogos tarikh pengundian awal.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.