Muhyiddin solat Aidiladha dengan kebiasaan baharu

73

31 JULAI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara hari ini dalam suasana kebiasaan baharu.

Muhyiddin yang memakai baju Melayu serta lengkap bersampin, turut memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak COVID-19.

Solat sunat yang bermula jam 8 pagi itu dipimpin oleh imam masjid berkenaan, Mohd Fikri Che Hamid.

Ketua imam masjid berkenaan, Mohd Rahimi P. Ramlee berkata, jemaah yang hadir diperiksa suhu badan dan melakukan penjarakan sosial satu meter ketika berada di dalam masjid.

Beliau berkata pihak masjid mengehadkan seramai 700 jemaah sahaja dengan 600 ahli kariah diberikan pas khas minggu lepas untuk memasuki masjid, manakala 100 pas kepada jemaah yang datang secara ‘walk-in’ hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.