12 kes baru, dua dari kluster di Kedah

167

31 JULAI: Lima kes import termasuk tiga daripadanya yang mendapat jangkitan di Indonesia antara 12 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua lagi kes import melibatkan kepulangan dari United Kingdom dan Qatar.

Katanya, daripada tujuh kes penularan di dalam negara pula, dua kes dilaporkan melibatkan kluster PUI Sivagangga di Kubang Pasu, Kedah.

“Dua kes saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan di Selangor dan Johor; satu kes saringan lokap di Negeri Sembilan serta satu kes lagi saringan di lokap sebelum dipindahkan ke penjara.

“Bagi kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara pula adalah satu di Johor iaitu kes saringan pra pembedahan manakala satu lagi di Sabah melibatkan kes kematian dikesan positif COVID-19 di Hospital Queen Elizabeth,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 207 kes dan sehingga kini, terdapat tiga sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan COVID-19 dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 125 kes.

“Kes kematian ke-125 merupakan lelaki warganegara Filipina berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau mempunyai gejala demam, batuk dan sesak nafas pada 25 Julai 2020 namun tidak mendapatkan rawatan.

“Pada 29 Julai 2020, beliau ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah di mana beliau telah disahkan meninggal dunia. Ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif COVID-19,” jelasnya.

Mengenai kluster PUI Sivagangga pula, Noor Hisham berkata, sebanyak 262 orang telah disaring dan daripada jumlah itu lapan kes dikesan positif COVID-19.

“Sebanyak 251 negatif dan tiga masih menunggu keputusan. Daripada lapan kes positif, lima orang adalah bukan warganegara Malaysia. Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif adalah masih diteruskan,” ujarnya. –Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.