UMNO tidak sertai PN, fokus perkukuh MN

87

30 JULAI: UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam pembentukan kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai MN.

“Hasrat Bersatu ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi. Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

“Saya akan menyerahkan kepada Jawatan Kuasa Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat Bersatu sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ahli-Ahli Parlimen BN mengadakan perjumpaan dengan Muhyiddin di bangunan Parlimen, semalam.

Perjumpaan diketuai Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berlangsung kira-kira sejam bermula 1 tengah hari.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan perjumpaan yang dihadiri semua ahli-ahli Parlimen BN itu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.