Rakyat Sabah berkuasa pilih mandat baharu – Zahid

341

30 JULAI: Kemelut politik di Sabah mesti diselesaikan walaupun usaha membentuk kerajaan baharu telah dinafikan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembubaran tersebut memberi kuasa kembali kepada rakyat Sabah untuk menentukan mandat baharu.

Pada masa yang sama, beliau berharap agar situasi yang sedang berlaku di Sabah menjadi iktibar kepada negeri-negeri lain.

“Keutamaan kepada rakyat hendaklah diutamakan supaya kemelut seperti ini tidak akan berlaku kerana beberapa insiden yang berkenaan tidak memihak kepada rakyat.

“Seharusnya rakyat diberi keutamaan dalam sebarang penyelesaian ketidakstabilan sesebuah kerajaan di peringkat negeri apatah lagi di peringkat Pusat,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen BN Bagan Datuk itu menjelaskan, beliau akan berbincang dengan kepimpinan UMNO Sabah termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman serta pemimpin-pemimpin parti politik di negeri itu yang bersama Barisan Nasional (BN).

“Pesanan saya buat rakyat Sabah, sila undi calon-calon BN!” ujarnya.

Ahmad Zahid juga berpandangan, BN lebih bersedia untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal diadakan dalam situasi COVID-19.

“Kita telah mengharungi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Chini baru-baru ini dengan baik kerana SOP dipatuhi sepenuhnya,” jelasnya. – Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.