Populariti Warisan turun, banyak janji tidak ditunai

255

30 JULAI: Kegagalan menunaikan sebahagian manifesto yang menjanjikan terlampau banyak perkara menyebabkan populariti Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menurun berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Penganalisis politik, Dr. Firdausi Suffian berkata, berikutan itu UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah mempunyai peluang bersama parti-parti dalam gabungan itu untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan dalam tempoh 60 hari.

Katanya, walaupun diakui penurunan populariti Warisan boleh dimanfaatkan UMNO dan Bersatu, namun parti pimpinan Mohd. Shafie tidak boleh diperkecilkan memandangkan isu ‘pengkhianatan’ akan digunakan bagi membangkitkan aspek emosi pengundi selain undi popular diterima mereka ketika PRU-14 lebih baik berbanding BN.

“Justeru, ketika ini saya lihat kedua-duanya ada peluang. Bersatu, UMNO bersama parti-parti gabungan mereka akan memanfaatkan kegagalan kerajaan Warisan menunaikan manifesto memandangkan sebelum ini, harapan atau expectation rakyat Sabah sangat tinggi kepada Warisan.

“Namun Warisan dan UPKO juga punya peluang menerusi isu pengkhianatan itu tadi selain merasakan rakyat akan berlaku adil kepada kerajaan Warisan berikutan Covid-19 dan perbicaraan status Ketua Menteri yang menghalang banyak projek pembangunan,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal sebentar tadi.

Sementara itu, Dr Firdausi yang juga pesnyarah kanan di sebuah universiti awam berkata, undi Kadazan Dusun Murut (KDM) dilihat sekali lagi akan menjadi penentu pada PRN kali ini sama seperti PRU-14 lalu.

Katanya, UPKO pada PRU lalu berjaya memenangi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan KDM namun kini timbul persoalan mengenai populariti parti itu berikutan sebahagian pengundi marah kerana UPKO meninggalkan BN dan membentuk kerajaan bersama Warisan.

“Namun boleh jadi UPKO juga akan mainkan isu lompat parti tadi dengan peristiwa terbaru ini.

“Bagi rakan gabungan Bersatu dan UMNO di Sabah iaitu parti STAR dan PBS pula, mereka juga ada kekuatan. PBS di kawasan KDM di bandar atau pinggir bandar manakala STAR pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan di kerusi KDM di luar bandar,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai gandingan UMNO dan Bersatu di Sabah, Dr. Firdausi berkata, hal itu menjadi lebih mudah di Sabah kerana pimpinan kedua-dua parti di negeri itu terdiri daripada mereka yang rapat dengan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Katanya, apa pun dalam PRN ini, isu lompat parti atau pengkhianatan akan menjadi isu hangat dengan kedua-dua blok boleh mengemukakan hujah.

“Seperti kita tahu, masa PRU 2018, BN menang 29 kerusi namun kerajaan Warisan dan PH yang menang 21 kerusi dapat dibentuk apabila enam wakil UPKO melompat.

“Sudah kedengaran, di pihak Tan Sri Musa memainkan isu apa yang dilakukan ini hanyalah untuk mengambil balik mandat rakyat pada 2018 tetapi di pihak Datuk Seri Shafie pula mengajak rakyat menghukum perbuatan lompat parti.

“Kita tahu politik sangat ‘fluid’ atau tidak tetap, jadi terpulang kepada strategi kempen masing-masing nanti,” ujarnya.

Katanya, satu perkara lagi yang menjadi perhatian pada PRN ini ialah penampilan parti pimpinan Datuk Seri Anifah Aman iaitu SEDAR yang akan bersama gabungan UMNO, Bersatu, PBS dan STAR.

“Parti ini mendapat perhatian terutama dalam kalangan profesional di Sabah. Jadi menarik untuk kita lihat gabungan lima parti ini nanti,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.