PKR pecat Kenny, DAP singkir Ronnie

1,205

30 JULAI: PKR memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Kenny Chua Teck Ho kerana didakwa terbabit dengan gerakan menjatuhkan kerajaan negeri Sabah dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim berkata, Kenny dipecat selepas gambar kehadirannya bersama kumpulan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang berniat menjatuhkan kerajaan negeri Sabah dirakam beberapa media, semalam.

“Setelah menerima pengesahan dari Majlis Pimpinan Negeri Sabah tentang keberadaan beliau dalam blok yang berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabah, dan mengambil kira pendirian PKR bahawa pengkhianatan terhadap mandat rakyat tidak boleh dibenarkan berlaku.

“Berikutan itu Lembaga Disiplin mengumumkan bahawa Kenny Chua dipecat dari PKR berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, ADUN Dilantik, Ronnie Loh Ee Eng turut dipecat oleh DAP kerana melakukan perbuatan serupa.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chieng Jen berkata, pemecatan itu berkuat kuasa serta-merta.

“Beliau turut dilucutkan daripada semua jawatannya dalam parti,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.