Pastikan peminjam terjejas terima bantuan bersasar – BNM

11

30 JULAI: Bank Negara Malaysia (BNM) telah menjalinkan kerjasama rapat bersama institusi perbankan bagi memastikan peminjam yang terjejas akibat COVID-19 menerima bantuan bersasar.

Bank pusat itu berkata, institusi perbankan juga bersedia untuk terus membantu peminjam yang terjejas melalui pelan pembayaran balik dan pengaturan lain yang bersesuaian dengan keadaan spesifik setiap peminjam.

“Walau bagaimanapun, semua peminjam lain yang mampu perlu mula membuat pembayaran balik, kerana tindakan ini akan mengurangkan hutang dan kos pembiayaan keseluruhan yang mereka tanggung,” kata BNM dalam kenyataan media.

BNM mengulas pengumumam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada pandemik COVID-19.

BNM menambah, pendekatan yang lebih bersasar bagi membantu peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ini adalah selaras dengan kawalan pergerakan yang telah dilonggarkan sejak awal Mei.

“Semenjak itu, hampir kesemua perniagaan dalam sektor ekonomi telah memulakan operasi dan semakin ramai rakyat Malaysia yang telah kembali bekerja,” jelas BNM.

Sehubungan itu, banyak peminjam yang awalnya memilih untuk menyertai moratorium ini telah mula menyambung semula pembayaran balik pinjaman, tambahnya.

Namun, kata BNM, situasi adalah terus mencabar bagi sesetengah pihak dalam aspek pendapatan dan aliran tunai, terutamanya mereka yang telah kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan.

BNM percaya pendekatan bersasar boleh memastikan bahawa sumber kewangan dan perhatian dapat diberikan keutamaan untuk golongan yang paling memerlukan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.