Musa dakwa ada majoriti, tak perlu bubar DUN

286

30 JULAI: Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau sudah mendapat sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan negeri baharu di Sabah.

Sehubungan itu, bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan berpandangan, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya adalah tidak perlu dan membuang masa dan wang serta memudaratkan nyawa rakyat ketika negara berdepan dengan wabak COVID-19.

Beliau juga tidak terkejut dengan tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN hari ini dan mendakwa beliau mempunyai majoriti mudah iaitu 33 daripada 65 ADUN Sabah untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu tanpa perlu melalui proses pilihan raya.

“Kita akan merayu kepada Yang Dipertua Negeri (Tun Juhar Mahiruddin), kalau boleh, agar dewan (DUN) tidak dibubarkan.

“Dulu pernah ada majoriti mudah, kerajaan boleh (ditubuhkan) berjalan juga…kita tidak perlu pilihan raya lagi sedangkan ada tiga tahun lagi untuk Pilihan Raya Umum seterusnya,” katanya pada sidang media khas di kediamannya, di Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, Musa berkata, satu surat yang menjelaskan beliau mempunyai sokongan 33 ADUN daripada pelbagai parti itu telah diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri melalui peguamnya.

“Ini adalah kali kedua saya dianiaya…pertama kali saya dipecat sebagai ketua menteri. Saya percaya satu keputusan bijak dan wajar akan dibuat oleh Yang Dipertua Negeri untuk melantik saya sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Musa menjelaskan alasan ADUN daripada Parti Warisan Sabah, yang dipimpin oleh Mohd Shafie, membuat keputusan kembali menyokong beliau kerana keadaan kerajaan negeri hari ini tidak sehaluan dengan kerajaan pusat.

Katanya, ADUN berkenaan melihat hubungan rapat kerajaan negeri dengan pusat adalah penting bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat berjalan lancar.

“Tetapi sekiranya benar DUN telah dibubarkan, saya dengan suci hati mengatakan bahawa kami akan melawan dalam pilihan raya yang akan datang untuk memberi rakyat negeri Sabah satu kerajaan baharu yang stabil dan memperjuangkan kepentingan kesemua rakyat negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Musa bersama rombongannya dihalang memasuki laluan Istana Negeri di Kota Kinabalu, petang ini.

Rombongan membabitkan lebih 10 kenderaan itu ditahan pihak polis yang melakukan sekatan berhampiran Bulatan Nanas di Jalan Istana, kira-kira jam 3.50 petang tadi.

Beberapa individu dipercayai peguam kepada Musa, dilihat cuba berbincang dengan pihak polis yang membuat sekatan.

Walau bagaimanapun, setakat kira-kira jam 4.10 petang tadi, mereka masih belum dapat melepasi sekatan berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.