Kanak-kanak bawah 2 tahun tak perlu pelitup muka

38

30 JULAI: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyatakan bahawa pemakaian pelitup muka tidak sesuai untuk kanak-kanak yang berumur kurang dari dua tahun.

Beliau berkata, perkara sama turut melibatkan mereka yang sukar bernafas dan individu yang tidak sedarkan diri, kurang berupaya atau tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan.

Malah, penggunaan pelitup muka juga tidak boleh dikongsi dengan orang lain selain perlu dipakai dan dilupuskan dengan cara yang betul, katanya.

“Bagi pelitup muka perubatan, pastikan ianya dipakai selepas memastikan kedudukan yang betul iaitu warna putih di sebelah dalam dan bahagian jalur logam berada di bahagian atas.

“Pakai pelitup muka dengan memegang pada bahagian pemegang sahaja dan menutupi ruang hidung sehingga dagu. Tekan bahagian jalur logam di kedua-dua belah tepi hidung supaya tiada ruang di antara muka dan pelitup muka.

“Selepas digunakan, ia perlu dibuka dengan memegang pada bahagian pemegang sahaja dan terus dilupuskan ke dalam tong sampah yang bertutup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini .

Mengulas lanjut Dr Adham, berkata pelitup muka perubatan boleh digunakan untuk tempoh empat jam secara berterusan namun jika keadaan mendesak dan ianya tidak rosak, basah atau tercemar, pelitup muka itu boleh digunakan untuk satu hari.

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka yang tidak sempurna seperti membiarkan ianya tergantung di leher, di dahi atau menutupi hanya sebahagian dari hidung dan mulut adalah tidak bertepatan dan membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.

“Apabila pelitup muka perlu dibuka contohnya semasa makan, ia boleh disimpan di dalam beg kertas atau bekas plastik yang boleh ditutup semula,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.