DUN Sabah bubar, kerajaan Warisan sah tumbang

1,045

30 JULAI: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan hari ini berikutan krisis politik yang melanda kerajaan negeri Parti Warisan Sabah (Warisan) itu.

Beliau berkata, pembubaran DUN tersebut telah diperakukan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam pertemuan di Istana Negeri di Kota Kinabalu, jam 8 pagi tadi.

Menurut Presiden Warisan itu, rakyat Sabah lebih berhak menentukan pihak mana yang layak diberi kepercayaan untuk membentuk kerajaan negeri.

“Sudah sampai waktunya kita menyatakan pulangkan kepada rakyat Sabah,” katanya dalam sidang media khas di Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Shafie menambah, hasrat untuk membubarkan DUN Sabah itu telah dinyatakan dalam pertemuan dengan Juhar malam tadi.

Beliau turut mendakwa pada mulanya mempunyai sokongan daripada 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam bentuk akuan bersumpah (SD) namun jumlah itu kini berkurangan.

Mohd Shafie memberitahu, beliau akan mentadbir Sabah sebagai Ketua Menteri Sabah sementara sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Sampai waktu baru kita pilih, pilihan dian kena tepat. Sama ada pilih si Musa Aman, Moktar Radin, sama ada pilih Hajiji, sama ada pilih Anifah Aman atau Shafie Apdal,” ujarnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.