Bubar DUN Sabah: SPR belum terima makluman rasmi

66

30 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menerima pemakluman rasmi daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak ketika dihubungi berkata, pihaknya perlu menunggu pemakluman rasmi sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat pihaknya.

“Kami masih belum terima pemakluman rasmi dari Kerajaan Negeri Sabah.

“Selepas pemakluman rasmi, kami akan mengadakan mesyuarat dan akan menentukan perjalanan proses pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Menurut beliau, kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh SPR selepas pemakluman rasmi tersebut diterima pihaknya.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sidang media hari ini mengumumkan pembubaran DUN Sabah.

Katanya, pembubaran DUN Sabah itu telah mendapat perakuan daripada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam masa 60 hari dan beliau akan terus menjadi Ketua Menteri Sabah sementara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.