Ahli Parlimen Sipitang dilantik Pengerusi Felcra

196

29 JULAI: Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa dilantik sebagai Pengerusi Felcra Berhad (Felcra) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan beliau menggantikan Datuk Shabudin Yahya yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Parlimen dan Undang-undang) pada 6 Julai lalu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang mengumumkan pelantikan itu berkata, beliau yakin dengan pengalaman luas Yamani Hafez dalam sektor korporat mampu memperkenalkan semangat inovasi dan inisiatif tinggi kepada agensi itu.

Beliau turut berharap Yamani Hafez mampu membawa warga Felcra terus maju mengorak langkah proaktif dalam menangani kebiasaan baharu dan cabaran ekonomi, demi kemajuan dan pertumbuhan syarikat itu.

“Pelantikan ini selari dengan visi dan misi Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menggalakkan dan memacu pertumbuhan usahawan tempatan yang berjiwa global, membawa produk terbaik dari Malaysia ke persada dunia.

“Demi menangani cabaran ekonomi terutamanya pasca Perintah Kawalan Pergerakan, usaha yang lebih mantap perlu ditempa demi memangkinkan peluang pekerjaan dan perniagaan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yamani Hafez, 42, berkelulusan Sarjana Muda Perdagangan dari University of Canterbury, New Zealand (2000) dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) (2012).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.