Turun kepada 13 berbanding 39 semalam

88

29 JULAI: Selepas mendadak naik kepada 39 kes semalam yang mencetuskan kebimbangan ramai, jangkitan baru COVID-19 hari ini kembali turun dengan mencatatkan 13 kes.

Sedikit melegakan, jangkitan dalam negara turut berkurang daripada 28 kes semalam menjadi lima kes dengan dua daripadanya melibatkan warga asing.

Selain kembali kepada angka yang lazim untuk beberapa minggu ini, Kementerian Kesihatan juga tidak melaporkan kluster baharu COVID-19 hari ini dengan 220 kes aktif COVID-19 dilaporkan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, daripada lima kes itu, dua dilaporkan di Sarawak masing-masing melibatkan satu kes iaitu daripada kluster Sentosa dan kluster Mambong.

Katanya, satu kes pula melibatkan saringan pra pembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah manakala terdapat satu kes saringan anak kapal di Johor dan kes kelima melibatkan saringan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen Kangar.

“Lapan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat rakyat Malaysia dan empat lagi bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Kes import itu dua kes pulang dari United Kingdom; India (dua) dan masing-masing satu kes dari Filipina, Pakistan, Gambia dan Ukraine,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, sehingga kini, hanya dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 124 kes,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Kluster Sentosa telah melibatkan kes sehingga generasi kedua dengan punca jangkitan masih di dalam siasatan.

Namun, katanya, hasil siasatan awal mendapati bahawa kemungkinan besar punca adalah daripada aktiviti di dalam komuniti.

“Sejumlah 1,026 orang telah disaring di dalam kluster ini dengan 31 dikesan positif COVID-19;
888 negatif; dan 107 masih menunggu keputusan.

“Saringan ini merangkumi petugas kesihatan, ahli keluarga mereka, pekerja syarikat pembersihan, pengawal keselamatan, pesakit dan lain-lain kontak rapat,” katanya.

Tambah beliau, bagi kluster Mambong pula, tujuh kes positif dicatatkan setakat ini selepas 198 orang disaring. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.