Suspek dikenal pasti, kes conteng mural selesai tak lama lagi

90

29 JULAI: Suspek kes menconteng mural pemimpin negara dengan kata-kata kesat di Seksyen U12, Shah Alam sudah dikenal pasti.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin kes berkenaan yang telah menimbulkan kemarahan pelbagai lapisan rakyat negara ini akan selesai tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata pihak polis memerlukan sedikit lagi masa sebelum tindakan seterusnya seperti menyerahkan kepada Peguam Negara, dilakukan.

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sudah menjalankan siasatan lanjut dan ia mungkin selesai dalam masa terdekat sedikit masa lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau mengesahkan pihaknya juga mengenal pasti suspek yang mendorong kepada siasatan itu.

“Sudah tentu kita mengenal pasti suspek tetapi bukan 100 peratus lagi. Terbabit atau tidak ia akan diketahui dalam siasatan itu nanti.

“Ketika ini kita tidak boleh dedahkan lagi sebarang siasatan kerana proses mengambil keterangan masih lagi berjalan. Kita akan umumkan nanti,” katanya.

Sebelum ini, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial yang memaparkan dua kelibat wanita dipercayai dalang yang merosakkan mural berkenaan.

Susulan vandalisme itu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memadam semua mural dengan mengecat semula dinding itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.