Runding dengan koperasi untuk lanjutan moratorium

35

29 JULAI: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meminta ahli yang mempunyai pinjaman dengan koperasi berunding terus dengan koperasi masing-masing berhubung tempoh moratorium yang akan berakhir September ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, secara asasnya, Angkasa hanya menguruskan pemotongan yang dibuat oleh koperasi bagi ansuran pinjaman dan tidak terbabit dengan urusan selainnya.

Menurutnya, daripada lebih 14,000 koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), hanya 614 koperasi terbabit dalam moratorium susulan mereka menawarkan perkhidmatan kredit kepada ahli.

“Terpulang kepada rundingan antara mereka. Peminjam boleh berunding terus dengan koperasi jika mereka benar-benar memerlukan lanjutan untuk tempoh moratorium ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran program redCOOP dan memperkenalkan produk Mukmin50+ serta Flexi68+ untuk sektor koperasi di Petaling Jaya.

Katanya, koperasi mungkin berupaya memberikan lanjutan sekiranya mempunyai sumber dana dan modal yang kukuh.

Bagaimanapun katanya, perkara itu adalah sukar dilakukan jika sumber agak terhad apa lagi sekiranya margin keuntungan pinjaman yang ditawarkan koperasi terbabit tidak besar.

“Saya tidak fikir kebanyakan koperasi bercadang untuk melanjutkan tempoh moratorium ini kerana kita tentunya sedia maklum mengenai bebanan kewangan yang perlu ditanggung jika bayaran ansuran ditangguhkan lagi.

“Namun, berlainan pula untuk koperasi yang menguruskan pinjaman daripada bank di mana mereka perlu mengikut keputusan bank berhubung moratorium ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.