Polis tahan 238 individu ingkar arahan PKP

29

29 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 238 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 42 individu telah direman manakala 196 individu pula dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk sembilan aktiviti pub dan kelab malam dan 229 aktiviti yang tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, pelaksanaan Operasi Benteng mulai 1 Mei hingga semalam menyaksikan seramai 2,491 pendatang asing tanpa izin (PATI), 596 tekong serta 144 penyeludup telah ditahan.

“Sebanyak 96 bot dan 257 kenderaan turut ditahan. Petugas Ops Benteng juga berjaya mengusir 257 PATI dan sembilan tekong serta 37 bot yang terlibat dalam percubaan mencerobohi sempadan negara,” jelasnya.

Ismail Sabri menambah, PDRM telah membuat 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara semalam dan memeriksa 28,589 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

Sementara itu, beliau berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 2,174 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya ditempatkan di 13 stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak dan Johor.

“Daripada jumlah itu, seramai tujuh individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” ujarnya.

Kata Ismail Sabri, mereka telah pulang dari 22 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia.

“Semalam, PDRM telah melakukan 1,755 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.