Penganjur perhimpunan sokong Najib akan dipanggil polis

133

29 JULAI: Penganjur perhimpunan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam akan dipanggil oleh polis berikutan dakwaan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, penganjur akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sebelum ini, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur perhimpunan untuk membawa rombongan pada minggu lepas.

“Ya, kami memang membenarkan pihak penganjur membawa rombongan tetapi bersyarat iaitu dengan mematuhi SOP penjarakan sosial.

“Apabila kami teliti kejadian semalam, ia bercanggah dan terang-terang melanggar SOP,” katanya pada sidang media selepas merasmikan IPD Sentul yang baharu, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menambah, hasil siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Najib berkata, semua pihak perlu mengambil insiden yang berlaku semalam sebagai satu pengajaran bahawa penjarakan sosial dalam situasi COVID-19 adalah amat penting dan perlu diamalkan pada bila-bila masa.

Beliau turut berkongsi gambar-gambar yang memperlihatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan SOP penjarakan sosial tidak dipatuhi.

“Jika nak siasat, perlu siasat semua. Barulah adil,” jelasnya dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.