Peminjam wang turut beri moratorium buat individu, PKS

99

29 JULAI: Persatuan Pemberi Pinjaman Wang (Kredit Komuniti) bersetuju memberi moratorium selama tiga hingga enam bulan kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dan individu bagi membantu rakyat yang terkesan disebabkan Covid-19.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib berkata perkara itu diputuskan hasil perbincangan antara kementeriannya dengan persatuan itu, selepas mereka disarankan oleh kerajaan untuk memberi moratorium kepada peminjam.

Namun, menurut beliau, bukan semua syarikat yang bersetuju dengan syarat tersebut untuk memberi moratorium yang penangguhan bayaran balik pinjaman atau penstrukturan semula bayaran berdasarkan polisi dan kemampuan kewangan syarikat tersebut.

“KPKT telah menggalakan pemberi pinjaman wang di bawah Akta 400 untuk memberikan moratorium kepada peminjam dalam tempoh PKP. Hasil permbincangan pada 9 April 2020 beberapa syarikat Kredit Komuniti bersetuju untuk memberikan moratorium.

“Ia diberikan kepada golongan PKS serta individu untuk tempoh tiga hingga enam bulan terakluk kepada keupayaan syarikat kredit komuniti namun syarikat pemebri pinjaman kredit akan mengenakan kadar faedah dan keuntungan ke atas pembayaran balik pinjaman tertangguh mengikut kadar yang dibenarkan dalam Akta 212.

“Kita juga serius dan tidak bertolak ansur atas kesalahan terhadap pemberi pinjaman dan syarikat komuniti ini jika mereka melanggar peraturan yang telah ditetapkan dalam undang-undang dan kita juga perlukan laporan peminjam untuk menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen BN Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang menyatakan tentang isu penangguhan bayaran hutang bukan bank di mana terdapat insitusi kewangan menuntut agar hutang dibayar dan kelewatan akan menyebabkan kenaikan faedah.

Dalam pada itu, bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Jempol, Datuk Salim Sharif yang berhubung penyelesaian kerajaan bagi menetapkan waktu moratorium terhadap syarikat kredit komuniti dalam membantu rakyat, Ismail memberitahu perkara itu tertakluk kepada kemampuan pemberi pinjaman.

“Memang bagi kita supaya syarikat ini mengikuti seperti yang dicadangkan oleh kerajaan melakukan moratorium tetapi sebagai contoh jika saya ada syarikat saya tak mampu jadi saya tidak akan lakukan moratorium. Jika tidak mempunyai kemampuan tidak boleh lakukan.

“Sebab itu, kita cari jalan yang terbaik bersama-sama syarikat ini agar dapat membantu mereka dan juga membantu peminjam yang dapat meringankan beban mereka ketika menghadapi kesan pandameik Covid-19,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.