Pasaran luas untuk farmaseutikal halal

79

29 JULAI: Pasaran eksport farmaseutikal halal mampu mencecah sehingga RM1.27 bilion menjelang 2030 berbanding RM424.95 juta setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari berkata, destinasi eksport utama pada 2019 adalah Amerika Syarikat, Singapura, Nigeria, Hong Kong dan China.

Kata beliau, syarikat itu juga sedang mengembangkan rangka kerja untuk meningkatkan eksport dan pelaburan berkaitan dengan industri halal yang dijangka siap akhir tahun ini.

“Pelaburan langsung asing (FDI) mungkin sukar pada masa ini, namun saya percaya pelaburan domestik berpotensi besar di tengah pandemik Covid-19.

“Eksport farmaseutikal halal Malaysia mencatat pertumbuhan yang stabil bernilai RM401 juta pada 2019 berbanding RM395 juta pada 2018.

“Manakala jumlah eksport halal bagi 2019 mencatatkan sebanyak RM40.2 bilion termasuk perubatan halal yang merangkumi suplemen, produk generik dan berasaskan ramuan tradisional,” katanya pada sidang media selepas siri webinar Persidangan Halal Dunia (WHC) 2020semalam.

Menurutnya, peningkatan dalam farmaseutikal halal ini secara langsung memberi peluang kepada pemain industri untuk menjadikan halal sebagai nilai tambahan produk farmaseutikal.

“HDC juga akan meluaskan operasi di China, Jepun, Taiwan dan Korea dalam tempoh dua tahun bagi memenuhi permintaan produk farmaseutikal halal di negara terbabit.

“Selain mempromosikan sektor halal yang baharu muncul seperti farmaseutikal, HDC juga menawarkan kepakaran dalam memudahkan pembabitan pemain industri kepada ekonomi halal melalui perkhidmatan latihan, perundingan dan padanan perniagaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.