Nik Abduh hormati perjuangan Najib

181

29 JULAI: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak banyak memainkan peranan meredakan ketegangan dalam kalangan rakyat semasa tempoh peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, selama ini, Najib berjuang tanpa suara yang nyaring dengan berucap secara tenang selain turun padang bertemu rakyat sambil tersenyum, melambaikan tangan dan bersalam-salaman.

“Tiba-tiba Pakatan Harapan (PH) jatuh sendiri sebelum baligh. Beruk di hutan tidak kalah dek angin ribut. Tetapi angin sepoi-sepoi bahasa cukup menjatuhkan beruk ke sungai.

“Datuk Seri Najib di sebalik segala pertuduhan berat ke atasnya adalah seorang lelaki pejuang. Saya hormatinya,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Beliau turut menganggap perjuangan Najib sejak tidak lagi bergelar Perdana Menteri adalah demi menegakkan kebenaran.

Nik Abduh menambah, tiada yang lebih baik daripada niat dan jihad ke arah kebenaran.

“Saya tidak tahu siapa yang benar. Mana satu yang batil. Tetapi saya amat tahu bahawa Allah memegang dan memiliki kebenaran itu.

“Dia pasti mempertahankan hamba-Nya yang benar dan berjuang deminya,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.