Lanjutan moratorium pinjaman bersasar selepas September

182

29 JULAI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan tempoh moratorium pinjaman dan bantuan bank bersasar sekurang-kurangnya tiga bulan bagi membantu golongan yang terjejas akibat COVID-19.

Menurut beliau, insentif itu khusus untuk golongan yang hilang pekerjaan tahun ini dan pekerja yang pendapatannya berkurangan.

“Pertama, Individu yang hilang pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, anda akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan.

“Selepas tiga bulan tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank, bergantung pada situasi individu masing-masing,” katanya dalam Perutusan Khas Pengumuman Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang disiarkan secara langsung melalui Facebook dan beberapa saluran televisyen, hari ini.

Tempoh moratorium yang sedang dikuatkuasakan ketika ini akan berakhir pada 30 September.

Muhyiddin menambah, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat COVID-19, bayaran ansuran bulanan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

Beliau memberitahu, contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.

“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” jelasnya.

Di samping itu, Perdana Menteri menyatakan, bank-bank telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat COVID-19.

Beliau menjelaskan, bergantung kepada situasi peminjam-peminjam, bantuan-bantuan yang ditawarkan termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan atau memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

“Bagi pinjaman sewa beli pula, pihak bank akan turut menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli.

“Contohnya, memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan yang lebih rendah,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, langkah-langkah tersebut dijangka akan memanfaatkan seramai tiga juta individu dan PKS.

“Sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Menurut beliau, peminjam yang layak boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos 2020.

“Saya berharap lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar ini akan dapat meringankan beban saudara dan saudari yang terjejas dengan masalah ekonomi akibat pandemik COVID-19. Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini,” tambahnya.

Muhyiddin memberitahu, dengan kerjasama institusi perbankan di negara kita diharapkan dapat menyokong kemampanan perniagaan, membantu usaha memulih serta melonjakkan semula
ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup anda semua.

“Dengan pengumuman ini, saya harap Makcik Kiah, Pak Salleh, Encik Lee, Puan Rani, Encik Douglas dan semua rakyat Malaysia dapat menarik sedikit nafas lega sementara kerajaan dan pihak industri berusaha untuk memulihkan semula ekonomi negara kita,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.