Abdul Hadi dan pemimpin Pas kunjungi Najib

512

29 JULAI: Kepimpinan Pas diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengunjungi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya di ibu negara lewat malam tadi.

Kunjungan persahabatan itu, menurut Najib adalah sesuatu yang amat dihargainya kerana sahabat sejati sukar ditemui.

Najib yang berkongsi gambar ziarah kepimpinan Pas di Facebook miliknya tengah malam tadi turut meluahkan perasaan bagaimana sahabat sejati akan ada bersama ketika susah dan senang.

Bukan itu sahaja, katanya, sahabat sejati juga adalah mereka yang sentiasa mendoakan sahabat yang lain.

“Sahabat yang sejati sukar ditemui. Jika di sisi, saya hargai dan saya tahu itulah anugerah Allah SWT,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Turut hadir menziarahi Najib itu Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali.

Sementara itu, Abdul Hadi dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan Pas mengambil sikap akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Najib.

Katanya, Pas menghormati proses mahkamah yang berteraskan prinsip Kedaulatan Undang-Undang yang didukung oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Pas yakin Datuk Seri Najib akan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendapat keadilan di mahkamah ke peringkat seterusnya.

“Walau dalam apa keadaan sekalipun, Pas menzahirkan komitmen bersama UMNO dalam Muafakat Nasional di samping terus memperkukuhkan Kerajaan PN,” jelasnya.

Najib akan merayu keputusan mahkamah itu yang mendapatinya bersalah dalam tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn. Bhd. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.