Perjanjian jual saham Ri-Yaz kepada Nurulhidayah terbatal

277

28 JULAI: Bekas pengerusi Exim Bank, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Manaf memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa perjanjian untuk menjual 60 peratus sahamnya dalam Ri-Yaz Asset kepada Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid telah terbatal apabila bank menolak cadangan melepaskannya sebagai penjamin.

Abdul Rashid, saksi ke-83 berkata demikian ketika ditanya pasukan peguambela dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Bank tak mahu melepaskan saya sebagai penjamin. Bank kata kalau nak pinjaman saya kena kekal sebagai penjamin. Jadi saya tak nak. Maka perjanjian terbatal,” katanya.

Terdahulu, Abdul Rashid dalam keterangan bertulisnya menyatakan pada 2016 dia mempunyai saham dalam dua syarikat, iaitu Eco World dan Ri-Yaz Asset Sdn Bhd di mana dia adalah pemegang syer (60%) dan juga pengarah bersama dengan Datuk Mohammed Shaheen (40%).

Dalam keterangan itu Abdul Rashid menjelaskan hotel milik Ri-Yaz di Bali menghadapi masalah dan tidak dapat memberi komitmen untuk membayar hutang dengan Exim Bank.

Dalam keterangan itu Abdul Rashid mengatakan setelah berbincang dengan Mohammed Shaheen, mereka mencapai kata sepakat dan mempunyai dua penyelesaian, sama ada mencari pembeli baru bagi hotel di Bali atau menjual syer beliau dalam syarikat Ri-Yaz kepada sesiapa yang berminat untuk mengambil alih.

“Pada 2015 Datuk Shaheen telah memberitahu saya bahawa dia telah berjumpa dengan Datuk Nurulhidayah, iaitu anak kepada Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sebuah majlis.

“Datuk Shaheen memberitahu dia telah berbincang dan menawarkan kepada Nurulhidayah berkenaan penyelesaian yang telah kami capai bagi menyelesaikan masalah hotel di Bali.

“Datuk Shaheen memberitahu Nurulhidayah telah menyatakan minat untuk mengambil alih syarikat Ri-Yaz dan membeli kesemua 60 peratus saham saya.

“Namun Nurulhidayah memaklumkan kepada Datuk Shaheen bahawa kami perlu berjumpa ayahnya terlebih dahulu untuk membincangkan perkara ini kerana dia tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk membeli saham saya di dalam Ri-Yaz dan ayahnya sahaja yang mempunyai duit sebanyak itu.”

Menurut Abdul Rashid beberapa minggu kemudian dia bersama-sama Shaheen berjumpa dengan Zahid di kediamannya di Country Heights.

“Saya memberitahu Zahid, antara terma yang perlu dipatuhi dalam pembelian saham ialah Nurulhidayah akan mengambil alih pinjaman Ri-Yaz sebanyak AS$24 juta yang digunakan oleh Ri-Yaz sebelum ini untuk membeli hotel di Bali. Seterusnya saya akan dilepaskan sebagai penjamin pinjaman.”

Dalam keterangan bertulisnya, Abdul Rashid turut menjelaskan Exim Bank memberi cadangan jika mahu meneruskan penjualan saham itu, dia perlu memegang syer sekurang-kurangnya 10 peratus namun masih boleh kekal sebagai penjamin bagi pinjaman syarikat Ri-Yaz untuk membeli hotel di Bali.

“Saya kemudian tidak bersetuju dengan keputusan pihak Exim Bank dan perjanjian jual beli saham telah terbatal. Berdasarkan keputusan ini Nurulhidayah kemudian telah meletak jawatan sebagai pengarah Ri-Yaz pada 31 Julai, 2017.

“Oleh kerana proses pengambilalihan saham saya tidak berlaku, Datuk Zahid meminta Ri-Yaz memulangkan semula wang deposit yang telah dibayar.”

Mahkamah dimaklumkan apabila bank menolak cawangan itu, Tetuan Lewis & Co sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi telah memulangkan kesemua deposit berjumlah RM8,602,920.

Pembayaran itu dibuat menerusi dua cek Tetuan Lewis & Co, iaitu RM8,348,040 (cek pertama) dan RM254,879.10 (cek kedua).

Abdul Rashid ditanya oleh peguambela sama ada dia tahu Lewis & Co adalah pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

“Saya tak tahu,” jawabnya.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi manakala Ahmad Zahid diwakili Hisham Teh Poh Teik, Hamidi Mohd Noor dan Haziq Dhiyauddin Razali.

Perbicaraan disambung esok. – Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.