Pelanggan meningkat, YaPEIM tambah cawangan Ar Rahnu

144

28 JULAI: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) merancang menambah lebih banyak cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara menjelang akhir tahun ini berikutan terdapat peningkatan jumlah pelanggan.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, setakat ini, pihaknya mempunyai 203 cawangan statik dan sembilan Ar Rahnu YaPEIM Akses (mudah alih) di seluruh negara.

Katanya, YaPEIM menjangkakan membuka lima cawangan Ar Rahnu YaPEIM Akses dan pihaknya masih membuat kajian kebolehlaksanaan bagi memastikan cawangan yang bakal dibuka dapat memberi pulangan keuntungan.

“Sebelum ini, YaPEIM menyediakan peruntukan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi RM60 juta bagi 2020, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perbincangan semula dilakukan dan kami mengurangkan separuh daripada jumlah itu bagi digunakan sepanjang enam bulan akhir tahun ini.

“Kajian kebolehlaksanaan masih dijalankan dan jika boleh kami mahu lebih banyak cawangan dibuka melihat kepada kesesuaian keperluan di setiap lokasi,” katanya selepas merasmikan pelancaran kempen Cabutan Kesetiaan Ar Rahnu YaPEIM 2020, di Shah Alam semalam.

Parihah berkata, setakat 30 Jun lalu, pembiayaan terkumpul sebanyak RM10.4 bilion diberikan kepada 741,651 pelanggan bagi tujuan pinjaman yang pelbagai dan nilai marhun terkumpul (nilai barang kemas) sebanyak RM15.9 bilion.

“Daripada jumlah itu, 23.31 peratus iaitu RM2.41 bilion pinjaman dikeluarkan kepada 142,182 usahawan berdaftar di bawah Kelab Maya Sahabat Ar Rahnu dan membuat gadaian bagi tujuan perniagaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.