Pasukan pembelaan Najib mohon penangguhan rayuan

288

28 JULAI: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak memohon penangguhan rayuan hukuman kepada Mahkamah Tinggi berhubung sabitan tujuh pertuduhan penyelewengan dana berkait SRC International Sdn Bhd.

Berikutan itu, Hakim Mohd. Nazlan Ghazali menangguhkan prosiding untuk waktu rehat tengah hari.

Kemudian mahkamah akan mendengar permohonan daripada pasukan pembelaan Najib yang diketuai peguam, Tan Sri Mohd. Shafie Abdullah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram membantah permohonan peguam bela Najib untuk menangguhkan rayuan bagi meringankan hukuman kepada Isnin depan.

Beliau berkata, penangguhan hanya diberikan selepas hukuman diberikan dan bukannya penangguhan bagi sabitan.

Mahkamah Tinggi bersambung pada jam 2 petang bagi mendengar hujahan lanjut sama ada rayuan bagi meringankan hukuman boleh ditangguhkan kepada tarikh lain selepas sabitan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum itu mendapati bekas Perdana Menteri itu bersalah di atas semua tujuh pertuduhan membabitkan pertuduhan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Hakim, Mohd. Nazlan membuat keputusan tersebut selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah bagi pertuduhan berkenaan.

Najib berdepan tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, hari ini.

Mahkamah mengumumkan secara berperingkat bermula dengan pertuduhan salah guna kuasa sebelum diikuti pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Terdahulu, Najib, 67, yang memakai sut coklat tiba disambut ratusan penyokongnya.

Jumlah penyokong yang berkumpul di luar pekarangan mahkamah kemudian terus bertambah sebaik prosiding bermula kira-kira jam 10.15 pagi.

Hadir bersama di mahkamah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta beberapa pemimpin kanan UMNO.

Pertuduhan-pertuduhan itu membabitkan hukuman sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Pada 11 November 2019, hakim itu telah mengarahkan Najib membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membukti satu kes prima facie terhadapnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.