Najib masih boleh bertugas sebagai MP Pekan

795

28 JULAI: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih boleh menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen Pekan sehingga selesai proses rayuan terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan guna kuasa.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, Najib boleh menghadiri sesi Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 27 Ogos depan.

“Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, taraf beliau sebagai Ahli Parlimen tidak berubah sehinggalah semua proses rayuan selesai,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA, hari ini.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan sekiranya beliau dikenakan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.

Najib, 67, didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.

Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.