Menggerunkan, kes baru COVID-19 melonjak 39

64

28 JULAI: Berulang kali diingatkan, jangan abaikan prosedur operasi standard (SOP) nanti COVID-19 kembali meningkat, namun nasihat itu bagi sebahagian rakyat ibarat menuang air di daun keladi.

Sedangkan sudah terang lagi bersuluh seperti kata Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kes pasti meningkat bila ramai yang leka dan hari ini menjadi bukti apabila kes baru mencatatkan 39 jangkitan dengan 28 daripadanya adalah kes tempatan.

Menurut Noor Hisham, daripada 28 kes penularan di dalam negara, 22 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan enam kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

Katanya, 21 kes dilaporkan di Sarawak dengan 10 kes daripada Kluster Sentosa; empat kes Kluster Kejuruteraan Kuching; empat kes Kluster Satok dan masing-masing satu kes daripada Kluster Mambong; Kluster PUI Melbourne, kes saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang dan saringan kendiri.

“Di Sabah pula ada dua kes melibatkan saringan pesakit berisiko tinggi iaitu di Lahad Datu dan Likas manakala lima kes di Kedah daripada Kluster PUI Sivagangga dengan empat daripadanya bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, kata Noor Hisham, 11 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia dan tujuh bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

Katanya, dua daripada 11 kes import tersebut adalah dari negara Korea Selatan dan Britain manakala masing-masing satu kes Arab Saudi, Ireland, India, Rusia, Amerika Syarikat, Amerika Selatan dan Filipina.

“Sehingga kini, hanya satu (1) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan beliau memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 124 kes,” ujarnya.

Tambah beliau, terdapat dua kluster baharu hari ini dengan satu daripadanya Kluster PUI Sivagangga, India di Kedah yang melibatkan seorang pemastautin tetap yang telah pulang ke Malaysia dari negara India pada 13 Julai 2020.

“Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif. Beliau telah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) namun didapati tidak mematuhi syarat perintah tersebut dan di dalam tindakan pihak berkuasa.

“Saringan ulangan didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 28 Julai 2020, 28 kontak rapat telah disaring. Daripada jumlah tersebut lima dikesan positif,” jelasnya.

Katanya, kedua ialah kluster Satok dan kluster ini dikesan di sebuah pasar di Satok, Kuching, di mana saringan COVID-19 telah dijalankan di pasar tersebut.

“Sehingga 28 Julai 2020 sebanyak 229 orang peniaga telah disaring. Daripada jumlah tersebut empat dikesan positif COVID-19

“KKM menasihati orang ramai agar waspada dan terus amalkan nasihat-nasihat kerajaan sebagai satu kebiasaan baharu,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.