Mahkamah benar rayuan, hukuman Najib tangguh

273

28 JULAI: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sehingga rayuan diputuskan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagaimanapun mengenakan syarat tambahan iaitu wang jaminan ditambah RM1 juta menjadikan jumlahnya RM2 juta.

Beliau turut memerintahkan jaminan dibayar esok dengan dua penjamin.

Selain itu, Najib juga diarahkan melaporkan diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan pada setiap 1 hari bulan dan 15 hari bulan.

Terdahulu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan melafazkan sumpah laknat di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika diberi peluang bercakap selepas penghujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan.

Dalam ucapannya, Najib antara lain menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai wang milik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta itu.

“Sebagai seorang Muslim, walaupun saya sudah katakan, izinkan saya mengucapkannya lagi. Wallahi wabilahi watallahi … bahawa saya tidak menuntut RM42 juta, saya tidak merancang RM42 juta itu dan RM42 juta tidak ditawarkan kepada saya dan belum ada bukti mengatakan demikian. Hanya itu yang saya mahu katakan,” katanya.

Tambah Najib, sejak beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri selama hampir 10 tahun, pelbagai perubahan dari infrastruktur sehinggalah kepada pendapatan golongan nelayan.

“Pada pemerintahan saya, pelbagai infrastruktur mega di bina termasuk pengangkutan awam, perkhidmatan kesihatan awam. Saya juga memastikan golongan sederhana, nelayan, penjawat awam ditingkatkan pendapatan mereka dengan program berskala besar,” ujar veteran politik itu.

Najib, 67, didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Mohd Nazlan membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes menyalahgunakan kedudukan.

Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.