Kerajaan hormat keputusan mahkamah terhadap Najib

276

28 JULAI: Kerajaan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menggesa semua pihak agar terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.

“Saya memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah. Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Kerajaan menghormati hak Datuk Seri Najib untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah. Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima keputusan mahkamah terhadap Najib itu dengan perasaan yang bercampur-baur.

Walaupun keputusan itu berat, beliau kagum dengan ketabahan, kesabaran dan kecekalan Najib menghadapi ujian selama ini.

“Saya pasti, beliau akan terus melalui proses rayuan. Peristiwa ini akan sesungguhnya mengubah dinamik parti.

“Saya harap kepimpinan UMNO dapat membawa parti ke arah yang betul, dengan meletakkan kepentingan parti, kerajaan dan negara sebagai keutamaan tertinggi,” jelasnya.

Ahli Parlimen BN Sembrong itu turut menasihatkan semua pihak supaya kekal bertenang dan jangan buat pendirian terburu-buru apatah lagi berlandaskan emosi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut bersimpati dengan nasib Najib yang merupakan seorang pemimpin yang prihatin dan peka terhadap kebajikan rakyat semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

Pada masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memberikan komen-komen berbaur ancaman atau kecaman terhadap mana-mana institusi perundangan di negara ini.

“Sebagai rakyat, kita harus menjadi pemerhati yang sabar dan percaya akan sistem perundangan negara yang telus dan berintegriti,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, partinya mengambil sikap akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Najib hari ini.

“PAS menghormati proses mahkamah yang berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang yang didukung oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PAS yakin Datuk Seri Najib akan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendapat keadilan di mahkamah ke peringkat seterusnya,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, PAS turut menzahirkan komitmen bersama UMNO dalam Muafakat Nasional di samping terus memperkukuhkan kerajaan PN.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan, sayap itu amat menghormati sifat cekal dan tabah yang konsisten sejak daripada awal mahu membersihkan diri beliau melalui proses perundangan di mahkamah dan keengganan beliau untuk tidak mahu mengheret parti dan rakyat dalam kes-kes pertuduhan yang dihadapinya.

“Justeru, Pemuda UMNO mengajak seluruh warga pejuang-pejuang parti untuk terus mendoakan kecekalan dan kesejahteraan pemimpin yang banyak jasanya kepada parti dan negara ini,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.