Jiwai kemerdekaan, kibarkan Jalur Gemilang – PM

73

28 JULAI: Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan kemerdekaan negara yang bukan sekadar selembar kain bagi mencorakkan perlambangan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, setelah sekian lama menikmati kebebasan dan kemerdekaan ini, amalan mengibar Jalur Gemilang seharusnya sudah dibudayakan dalam kehidupan seharian rakyat.

“Kita semua dengan sendirinya dengan rela hati mengibarkan dengan megah Jalur Gemilang di sepanjang tahun, tanpa perlu menunggu adanya program sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

“Apabila kesedaran ini sudah ada dalam diri setiap orang, maka ia bermakna kita telah berjaya menjiwai kemerdekaan negara ini,” katanya ketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Putrajaya hari ini.

Yang hadir sama anggota-anggota Kabinet antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan pengurusan tertinggi kerajaan.

Sementara itu, kata Muhyiddin, tema Malaysia Prihatin untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini amat bertepatan dengan aspirasi yang didukung kerajaan bahawa seluruh rakyat MALAYSIA sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan NGO mahupun orang perseorangan turut bersama-sama memerangi musuh di ketika ini iaitu wabak COVID-19.

Katanya, PRIHATIN pula menunjukkan inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat Malaysia dan emangat MALAYSIA PRIHATIN ini dizahirkan bukan sahaja oleh mereka yang bertugas di barisan hadapan, malahan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang merupakan wira tidak didendang.

“Mereka tampil untuk memberikan bantuan dan sokongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Ini petanda baik yang membuktikan rakyat Malaysia boleh bersatu sama ada di waktu susah apatah lagi dalam waktu senang.

“Pada hakikatnya, semangat MALAYSIA PRIHATIN ini juga kita hendak semarakkan di segenap segi kehidupan masyarakat, bukan sahaja dalam usaha kita menamatkan terus wabak Covid-19, tetapi dalam usaha
memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.

“MALAYSIA PRIHATIN perlu kita sematkan dalam ingatan untuk kita mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Kita perlu melakukannya bersama-sama dan dengan keazaman dan usaha yang bersungguh-sungguh,” katanya.

Perdana Menteri dalam pada itu mengajak rakyat Malaysia untuk terus menyemarakkan keharmonian yang dikecapi selama ini demi Negara yang tercinta dan sekali gus memartabat agenda untuk membina negara.

“Kita ingin lihat semangat patriotisme ini sentiasa mekar dalam hati kita. Setiap tahun semangat ini akan kita perkukuhkan lagi di sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang. Mudah-mudahan dengan cara ini rasa cinta kita kepada negara tidak akan kunjung padam sampai bila-bila.

“Apa yang ingin kita suburkan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah semangat patriotisme iaitu perasaan cinta yang mendalam dalam diri kita kepada negara tanah tumpah darah kita ini.

“Saya percaya perasaan cinta kepada negara inilah yang boleh menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini,” katanya. -Oeh M.H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.