650 kes positif COVID-19 di Sarawak setakat ini

34

28 JULAI: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengesan 650 kes kumulatif positif COVID-19 termasuk 19 kes kematian di seluruh Sarawak sehingga semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba, berkata daripada jumlah itu 397 kes positif dikesan di Kuching termasuk 12 kes atau tiga peratus membabit kes kematian.

“Seramai 680 orang kontak rapat berkait kes kluster Sentosa sudah dikesan dan disaring mulai 18 hingga 27 Julai 2020 di mana 21 kes didapati positif COVID-19, manakala 587 adalah negatif dan 72 lagi sedang menunggu ujian COVID-19. Pengesanan kes secara aktif dan kontak rapat masih diteruskan.

“Daripada 21 kes positif ini, 16 kes adalah dari kalangan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dua (2) anggota perkhidmatan sokongan (syarikat mengurus fasiliti di hospital), satu (1) pesakit dalam, manakala dua (2) lagi adalah kontak ahli keluarga kepada kes,” katanya ketika menjawab soalan sesi Soal Jawab Menteri di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Dr Adham berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukan oleh Ahli Parlimen PH Stampin, Chong Chieng Jen, yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan tentang pelan Kerajaan untuk menangani isu peningkatan kes COVID-19 di Kuching terutamanya di kalangan kluster Sentosa yang melibat kakitangan hospital kerajaan, petugas barisan hadapan.

Chieng Jen juga bertanya apakah langkah tambahan yang akan diambil Kerajaan untuk melindungi dan menjaga kebajikan pekerja-pekerja kesihatan, pesakit dan juga orang awam di persekitaran hospital tersebut, dan juga apakah langkah tambahan untuk membendung penularan wabak COVID-19 di Kuching serta membantu peniaga-peniaga yang terjejas pandemik itu.

Berikutan itu, Dr Adham berkata beberapa langkah pencegahan telah diambil untuk melindungi dan menjaga kebajikan pekekerja kesihatan, pesakit dan juga orang awam di persekitaran hospital.

Dr Adham berkata pesakit dan petugas yang disahkan positif COVID-19 telah diasingkan dan sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata pengesanan kontak dalam kalangan pesakit dan anggota kesihatan yang disahkan positif COVID-19 diteruskan.

“Kontak rapat kepada anggota kesihatan dan pesakit yang positif COVID-19 dikuarantinkan di stesen kuarantin yang telah dikenal pasti.

“Kita juga memberi penekanan terhadap aktiviti pencegahan dan pengurusan jangkitan COVID-19 seperti sentiasa mengamalkan pemakaian Personal Protective Equipment (PPE) yang bersesuaian, penjarakan sosial, sering mencuci tangan dengan sabun serta mengelakkan amalan 3C (tempat sesak, sempit dan bercakap secara dekat),” katanya.

Beliau berkata JKN juga menjalankan saringan kesihatan mental kepada semua anggota yang positif COVID-19 serta ahli keluarga.

“Kita juga membuat mobilisasi pegawai dari seluruh Negeri Sarawak bagi menggantikan petugas Hospital Sentosa yang sedang menjalani tempoh kuarantin.

“Taklimat khas diberikan kepada anggota kesihatan yang ditempatkan ke Hospital Sentosa mengenai penekanan terhadap pematuhan rawatan COVID-19,” katanya.

Beliau berkat JKN juga menjalankan aktiviti pembersihan dan disinfeksi di kawasan yang terlibat termasuklah kawasan berisiko tinggi mengikut prosedur standard KKM.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.