“Saya sudah bersedia.” -Najib

234

28 JULAI: Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau sudah bersiap sedia untuk berhadapan prosiding di Mahkamah Rayuan pula.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sama ada keputusan perbicaraan kes SRC International memihak kepadanya atau sebaliknya esok, kes itu sudah pasti akan dibawa ke peringkat rayuan.

“Sekiranya didapati tidak bersalah, sudah tentu pihak pendakwa raya akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Sebaliknya jika keputusan di Mahkamah Tinggi tidak memihak kepada saya, sudah tentu saya akan membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan untuk penghakiman yang adil oleh panel tiga hakim dan bukan seorang hakim seperti keputusan esok,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau malam ini.

Sementara itu, kata Najib, hanya dengan sinar daripada sokongan rakyat selama ini yang memberikannya kekuatan untuk bangkit melawan dan mendorong saya terus ke hadapan.

“Terima kasih saudara-saudari. Saya tidak putus asa. Ya, lepas ini kita ke Mahkamah Rayuan.

‘Saya tidak mahu mana-mana kes saya digugurkan seperti kerajaan PH menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng walaupun sudah bermula prosiding di mahkamah,” katanya.

Tambah Najib: “Saya mahukan keadilan. Saya mahu membersihkan nama saya.”

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan esok keputuan kes penyewelengan dana SRC International bernilai RM42 juta.

Sementara itu jelas Najib, setiap manusia yang dicipta Allah akan diberi musibah, ujian atau dugaan hidup di dunia.

“Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk. Betapa sukar atau berat. Hadapilah dengan hati yang tenang dan tidak berputus asa.

“Kerana sesungguhnya Allah menyayangi kita dan akan memberkati kita,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.