Saksi dedah sebab beliau bantu Zahid

111

27 JULAI: Omar Ali Abdullah, saksi perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia bersetuju membantu menguruskan sumbangan daripada Yayasan AlBukhari untuk dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi kerana akan mendapat ganjaran pahala dari Allah.

Dia berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau menerima ganjaran daripada Ahmad Zahid kerana membantunya.

“Saya dapat ganjaran pahala dari Allah. Duit ini duit sumbangan. Tanggungjawab saya masukkan duit. I have done my job,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-81 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid.

Menurut Omar, Yayasan Al-Bukhari menerusi beberapa wakilnya telah menyerahkan sejumlah wang tunai kepadanya untuk dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi.

Omar, seorang pengurup wang, berkata, sumbangan itu diserahkan secara berperingkat dan disampaikan oleh individu berbeza yang mewakili Yayasan Al Bukhari.

Ketika disoal timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, dia berkata penyerahan sumbangan itu dibuat di beberapa lokasi, antaranya di tingkat bawah Plaza Fahrenheit, lobi Hotel Marriot dan lobi Hotel Grand Millenium.

Omar Ali berkata, pada peringkat awal setiap kali menerima sumbangan wang tunai dari mereka, dia akan menukarnya dengan cek kawan-kawan yang dikenalinya sebelum memasukkannya ke akaun Yayasan Akalbudi.

Omar berkata dia kemudiannya akan menyerahkan slip kemasukan cek kepada Ahmad Zahid

Selain dimasukkan terus ke akaun Yayasan Akalbudi, sebahagian cek dimasukkan ke akaun Tetuan Lewis & Co sebagai pemegang amanah.

Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Omar berkata dia mengenali Zahid sejak berusia awal 20an, di mana ketika itu Zahid adalah seorang Senator.

Omar yang juga berasal dari Bagan Datuk, memberitahu mahkamah, pada sekitar 2014 dia telah diminta oleh Zahid untuk menguruskan kemasukan wang tunai ke dalam akaun Yayasan Akal Budi.

“Zahid memberitahu wang tunai itu semua dari sumbangan bagi tujuan kebajikan. Katanya penyumbang dari Yayasan AlBukhari akan menghubungi saya untuk memberikan wang tunai.

“Dia meminta saya menukarkan wang tunai yang diterima itu dalam bentuk cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

“Lebih kurang seminggu kemudian, semasa saya berada di pejabat, saya telah menerima panggilan pertama yang mana seorang lelaki yang tidak saya kenali telah bertanya kepada saya jika saya mempunyai masa terluang kerana ingin memberikan wang tunai dari Yayasan Al Bukhari.

“Saya telah meminta lelaki tersebut untuk datang ke pejabat saya namun dia enggan dan memberitahu saya untuk datang ke aras bawah Plaza Fahrenheit. Saya kemudian telah turun dan berjumpa dengan lelaki tersebut.

“Pada ketika itu lelaki tersebut hanya memberikan duit dalam beg luggage. Kami tidak berbual dan bertanya apa-apa, setelah mengambil beg tersebut saya terus pergi ke kereta saya dan terus pulang ke rumah.

“Apabila sampai di rumah saya telah membuka beg tersebut dan telah mengira duit tunai yang saya terima. Saya tidak ingat nilai sebenar pada kali pertama dan seingat saya mungkin dalam lingkungan setengah juta.

Antara tempat yang pernah saya pergi untuk berjumpa dengan mereka yang dikatakan daripada Yayasan Al Bukhari adalah tingkat Ground Floor Plaza Fahrenheit, lobi Hotel Marriot dan lobi Hotel Grand Millenium.

“Sekitar awal tahun 2016, semasa saya di rumah OKT untuk serahkan slip-slip bank yang mengesahkan kemasukan cek yang saya terima hasil dari tukaran wang tunai tersebut ke akaun Yayasan Akalbudi, saya telah diarahkan supaya wang tunai yang diterima selepas itu ditukarkan kepada cek dan kemudian dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co.” kata saksi itu

Omar ditanya oleh pasukan peguambela mengapa dia tidak pernah bertanya mengapa perlu wang tunai ditukarkan kepada cek dan mengikut sahaja arahan tertuduh.

“Pasal Zahid sudah beritahu duit itu untuk derma. Saya juga tak tanya kenapa wang tunai ditukar kepada cek sebab saya rasa saya tak perlu nak tahu,” jawabnya.

Ketika ditanya mengapa Zahid memilihnya, Omar berkata ia disebabkan mereka sekampung dan saling mengenali.

Ditanya mengapa dia menukarkan tunai dengan cek dengan kawan-kawannya, Omar Ali berkata jumlahnya terlalu besar dan susah untuk dibawa. Lagipun lebih mudah untuk memasukkan cek.

Omar Ali berkata dia memasukkan cek beransur-ansur ke akaun syarikat milik isterinya untuk memastikan akaun itu aktif sehinggalah cukup RM500 ribu (jumlah sumbangan yang diterima) sebelum memasukkan ke akaun Lewis & Co.

Katanya jumlah itu dimasukkan beransur-ansur di tiga atau empat cawangan CIMB sehari. Maksimum transaksi sehari ialah RM100 ribu atau RM150 ribu.

Menurutnya dia tidak memasukkan sekaligus kerana tidak diterima bank.

Katanya bank menghadkan tidak lebih dari RM150 ribu sekali transaksi.

Katanya cek dimasukkan ke cawangan berlainan kerana sebab jumlahnya banyak dan dia takut menjadi sasaran.– Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.