Saksi akui sumbangan tidak dijanjikan balasan

310

27 JULAI: Seorang pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak dijanjikan apa-apa balasan sekiranya memberi sumbangan kepada Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Ng Hong Sing, beberapa keping cek terkumpul bernilai RM6.6 juta yang disumbangkan kepada Yayasan Akalbudi bukan rasuah malah bertujuan menolong orang susah dan kebajikan.

Ng juga bersetuju bahawa kata-kata bahawa dia akan mendapat projek lebih besar datang dari seorang individu yang dikenalinya sebagai Datuk Rozi, dan bukannya dari Zahid.

Peguambela bertanya benarkah tiga sebab mengapa Ng memberi sumbangan adalah untuk menolong orang, cari kawan dan dapat projek adalah pendapat peribadinya pada ketika itu dan tidak dijanjikan apa-apa.

“Saya setuju. Itulah dalam fikiran saya,” jawab Ng.

Ng yang merupakan pengarah syarikat MTM Network Sdn Bhd berkata demikian pada perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid.

Menurut Ng, yang merupakan saksi ke-79, kawannya bernama Jamal memberitahunya bahawa “Datuk Ruzi” adalah orang kuat Bagan Datuk, Perak dan juga kepada Zahid.

“Pada bulan Januari 2016 Datuk Ruzi memberitahu saya bahawa dia boleh memperkenalkan saya kepada tertuduh, namun saya harus memberikan sedikit sumbangan kepada Yayasan Akalbudi,” katanya.

Sebelum itu Ng menimbulkan kekeliruan di mahkamah apabila ketika disoal peguambela, dia memberi kenyataan bercanggah dengan keterangan bertulisnya.

Ini kerana dalam keterangan bertulisnya, Ng menyatakan pada 2015 dia bertemu dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Ruzi di Kuantan, Pahang melalui kawannya.

Bagaimanapun ketika disoal peguambela dia menyatakan pertemuan itu berlaku di Pekan.

Kemudian apabila peguambela meminta seorang individu bernama Datuk Sheikh Ruzi memperkenalkan dirinya di mahkamah, Ng mengatakan individu itu bukanlah Datuk Ruzi yang dikenalinya.

Ng memberitahu mahkamah pada Januari 2016 individu yang dikenalinya sebagai “Datuk Ruzi” memberitahu bahawa dia boleh memperkenalkannya kepada Zahid. Namun dia harus memberikan sedikit sumbangan kepada Yayasan Akal Budi.

Katanya selepas satu minggu pertemuan tersebut, Datuk Ruzi telah memberitahunya akan membawa dia bertemu Zahid di Country Heights, Kajang.

Ng memberikan jawapan agak aneh apabila diminta memberi gambaran kediaman Zahid yang pada ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Menjawab soalan peguambela, Ng berkata kediaman itu tidak ada pondok polis atau pengawal dan dia tidak mendaftar atau meninggalkan kad pengenalan ketika memasuki kediaman berkenaan.

“Saya beritahu Datuk Ruzi bahawa saya hanya boleh berikan sebanyak RM3 juta. Setelah masuk ke rumah dan memperkenalkan saya dengan Zahid, Datuk Ruzi terus keluar dan meninggalkan saya dengannya,” katanya.

Menurut Ng dalam perjalanan pulang, Datuk Ruzi ada memberitahu jika dia menyumbang lebih, dia akan mendapat projek yang lebih besar.

“Saya hanya memberitahu kepada Datuk Ruzi bahawa nilai maksimum yang saya boleh sumbang adalah sebanyak RM6 juta sahaja. Datuk Ruzi ada memberitahu kepada saya untuk menguruskan sumbangan yang akan saya berikan,” katanya.

Menjawab soalan pendakwa, Ng mengatakan di dalam fikirannya apabila menyumbang, dia akan mendapat projek tetapi sehingga kini tidak mendapat apa-apa pulangan.

Pendakwa bertanya mengapa sanggup bayar sampai RM6 juta?

“Mula-mula nak bagi RM3 juta. Lepas tu Ruzi kata minta lebih sikit. Dalam fikiran saya, kalau nak kawan dengan orang besar, kena bagi jumlah besar. Dalam fikiran saya kalau jadi kawan mungkin boleh dapat projek.”

Ng juga ditanya, ketika memberi penerangan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), adakah pegawai menunjukkan gambar Datuk Ruzi?

“Ada tunjuk gambar tapi bukan gambar Datuk Ruzi,” jawabnya.

Di dalam keterangan bertulis Ng menjelaskan dia diberitahu oleh Jamal bahawa Datuk Ruzi adalah orang kuat tertuduh.

Tetapi sewaktu ditanya oleh peguambela, Ng mengatakan, yang memberitahunya bukan Jamal. Tapi individu bernama Albert.

Peguam bertanya sama ada dia menyebut nama Albert kepada SPRM.

“Tak ada. Saya beritahu SPRM ada kawan kenalkan. Tapi saya tak bagi nama. SPRM ada tanya nama kawan-kawan tapi saya tak beri,” jelasnya. –Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.