Polis sedekah telur terima ganjaran umrah percuma

82

27 JULAI: Ibarat buat baik, dibalas baik, begitulah kisah teladan seorang anggota polis di Indonesia yang sering bersedekah kepada warga miskin setempat akhirnya dibalas oleh pihak atasan.

Menurut laporan media tempatan, Aipda Purnomo yang bertugas di Lamongan, wilayah Jawa Timur selalu membantu orang susah melalui jualan telur ayam secara senyap tanpa sesiapa pun yang tahu.

Semua hasil yang diperolehi kemudian disedekahkan kepada masyarakat dalam bentuk baik pulih rumah, pemberian basikal malah telur sebanyak lima kilogram bagi setiap keluarga yang tidak berkemampuan.

Bakti jasa Purnomo yang dilakukan di luar waktu kerja itu dihargai pihak Direktorat Lalu Lintas Polis Daerah Jawa Timur yang malah memberi hadiah berupa pakej ibadah umrah secara percuma.

“Alhamdulillah, semoga apa yang saya buat ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk terus melakukan kebaikan sesama manusia,” kata beliau seperti dipetik daripada portal berita Surabaya TribuneNews.

Hadiah khas itu juga diberikan langsung daripada Ketua Direktorat Polis Indonesia, Inspektor Jeneral Drs. Istiono MH menerusi wakilnya, Budi Indra Dermawan dalam satu majlis pada 22 Julai lalu.

Purnomo dilaporkan selalu menjual telur ayam kampung bersama rakan-rakannya di Yayasan Berkas Bersinar dengan menunggang motosikal miliknya di pinggir jalan ketika tidak dipanggil bertugas.

“Sesiapa yang telah beli sebiji telur ini pada harga dijual 1,700 rupiah (RM0.50), maka sebanyak 200 rupiah (RM0.06) daripadanya akan disedekahkan pula kepada individu miskin,” jelas beliau lagi.

Uniknya, Purnomo tidak dapat untung pun daripada aktiviti penjualan tersebut kerana setiap telur berkenaan dibeli dari pembekal di Sidoarjo pada harga borong serendah 1,500 rupiah (RM0.44).

Setiap kali ke sana, beliau cuma dapat 300 kilogram telur tetapi waima sedikit, Purnomo berharap usaha kecil yang dilakukannya itu akan membantu golongan susah yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.