Perjuangan pertahan hak Melayu bukan rasis

132

27 JULAI: Perjuangan orang Melayu untuk mempertahankan hak mereka sendiri di negara ini tidak sepatutnya dianggap sebagai agenda berunsur perkauman.

Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, orang Melayu cuma ingin membela nasib mereka, kaum bumiputera dan umat Islam.

Menurut beliau, orang Melayu tidak mengambil hak orang lain namun ada pihak yang menuduh mereka sebagai rasis.

“Siapa yang rasis sekarang? Kami tak menafikan hak bangsa lain.

“Kami minta diperjuangkan nasib kami, itu sahaja. Jadi tidak timbul soal rasis di sini,” katanya yang mencelah ketika Ahli Parlimen Warisan Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Mohd Shafie memberi contoh tentang dasar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mencetuskan api perkauman di negara itu bagi menggambarkan tentang keburukan agenda politik berteraskan kaum.

Sementara itu, Shahidan menganggap Ahli Parlimen Bebas Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya dianggap pemimpin yang berjaya ketika beliau bersama Barisan Nasional (BN) dahulu.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan, Dr Mahathir didakwa seorang pemimpin yang gagal semasa zaman Pakatan Harapan (PH) berkuasa kerana beberapa menteri Kabinetnya tidak berwibawa. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.