Noh tegur Mat Sabu kaitkan Melayu dengan rasuah

479

27 JULAI: Sidang Dewan Rakyat hari ini panas seketika apabila Ahli Parlimen BN Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menegur Ahli Parlimen PH Kota Raja, Mohamad Sabu yang mengaitkan orang Melayu dengan rasuah.

Noh menyifatkan dakwaan yang dilemparkan oleh Mohamad ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong itu sebagai menghina orang Melayu.

“Kalau Yang Berhormat (Kota Raja) betul-betul memperjuangkan Islam mengapa lari dari PAS lompat kepada Amanah. Apa bezanya PAS memperjuangkan Islam, memperjuangkan agama. Kenapa lari: Sekarang ini nak bercakap soal Melayu macam mana.

“Siapa rasuah, ada bukti ke? Jadi, janganlah umum Yang Berhormat, jangan hina Melayu. Jangan kata rasuah terlalu umum memalukan bangsa. Adakah semua Melayu menerima rasuah? Jangan hina bangsa kita sendiri. Kita ada maruah,” katanya.

Mohamad cuba menafikan dakwaannya itu yang memberitahu bahawa beliau tidak berniat untuk menghina orang Melayu tetapi mahu mereka bertakwa, beriman dan berintegriti.

Walaupun Noh bersetuju dengan penjelasan Mohamad, beliau meminta Presiden Parti Amanah Negara itu menarik semula kenyataannya berkaitan orang Melayu menerima rasuah.

“Itu saya sokong tapi jangan kait Melayu dengan rasuah, menjatuhkan maruah kita. Saya sokong tapi jangan cakap Melayu rasuah. Yang Berhormat seorang yang baik, orang Melayu baik yang bukan kaki rasuah. Jangan macam itu, kena tarik balik,” tegasnya.

Namun tetap dengan pendiriannya enggan menarik balik kenyataan tersebut dengan memberi alasan bahawa ia dibuat secara umum.

Terdahulu, ketika mengulas celahan Ahli Parlimen PH Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Mohamad bersetuju bahawa orang Melayu mesti bersatu atas akhlak dan keperibadian yang mulia termasuk menentang rasuah.

“Amat-amat setuju. Inilah perkataan kata sokong orang Islam walaupun dia rasuah kerana dia ada pintu taubat.

“Yang ini kenyataan yang berbahaya. Kita akan sokong sesiapa sahaja yang berintegriti tak kisahlah daripada mana pun. Kita boleh terima,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.