Nik Abduh ucap takziah kepada PH

464

27 JULAI: Ahli Parlimen PAS Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengucapkan salam takziah untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kini terkubur dan digantikan oleh Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, kerajaan PH yang memerintah negara selama lebih dua tahun lalu yang kini sudah terkubur dan runtuh akibat pepecahan dan perbalahan sesama mereka yang sudah tidak dapat dibendung lagi.

Berikutan itu, Nik Mohamad Abduh menggesa semua pemimpin PH supaya bersabar, tenang dan menerima ketentuan Allah SWT dengan penuh keimanan.

“Jika ada rasa tidak puas hati ke atas apa yang berlaku maka sebaik-baik penyelesaian adalah sama-sama bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Insya-Allah saya melihat keyakinan banyak pihak melihat apa juga persembahan kerajaan baharu PN, PRU-15 adalah sebaik-baik jalan untuk kita menyelesaikan kisah dan ragam politik dalam negara kita sekarang ini,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut mengingatkan kerajaan PN supaya dapat mentadbir negara dengan cara terbaik, penuh tanggungjawab dan menjauhkan diri daripada kesilapan dilakukan oleh kerajaan terdahulu sama ada ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN) atau PH.

“Biarlah pergolakan politik berlaku bukan kerana ketamakan yang akan membawa kesan lebih buruk tetapi usaha kita semua untuk mencari dan mencapai rentak politik lebih baik memenuhi aspirasi generasi baharu.

“Insya-Allah, PAS yang turut dijemput berada dalam PN akan memberikan sumbangan terbaik bagu memastikan harapan bersama rakyat Malaysia dapat dicapai dengan jayanya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh meminta kerajaan supaya tidak tunduk dengan sebarang tekanan dalam menangani masalah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Beliau turut menyokong penuh tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang memberikan lesen penuh kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) untuk mengambil tindakan terhadap transgender mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, pada 10 Julai lalu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.