Kluster baru ibarat bara, jangan biar jadi api – KP Kesihatan

68

27 JULAI: Dalam bahasa mudah peperangan melawan COVID-19, apa analogoi kluster dan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP)?

Jawab Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kluster adalah bara panas manakala kedegilan rakyat adalah bahan api.

Tegasnya, jika dua ini bertemu, kebakaran besar pasti meletus iaitu kes baru COVID-19 meningkat mendadak.

Katanya, sebab itulah kerajaan berulang kali menasihatkan rakyat supaya patuhi SOP, pakai pelitup muka dan amalkan penjarakan sosial bagi mengawal bara dari menjadi api.

Jelas beliau, hanya cara itu rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan dan kajian telah terbukti pelitup muka dan penjaran sosial mengurangkan risiko jangkitan sehingga 65 peratus.

“Kluster adalah bara dan orang tak patuh SOP adalah bahan api. Memang kebakaran besar terjadi jika dua ini bertemu dengan kes akan meningkat mendadak.

“Kalau kes jadi 2,000 sehari, dalam masa dua hari hospital kita tak akan ada kemampuan untuk merawat.

“Maka pada peringkat awal, kita kena kawal bara api ini dengan amal SOP, penjarakan sosial dan memakai pelitup muka,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, apa yang penting dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan benarkan kembali kehidupan seharian tetapi dengan patuh SOP.

“Tak patuh SOP, tak mustahil kita akan dapat gelombang ketiga COVID-19,” jelasnya.

Sementara itu, kata Noor Hisham, Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan syarikat penerbangan untuk melaksanakan saringan COVID-19 ke atas semua penumpang yang transit di negara ini.

Beliau berkata, sekiranya saringan penumpang itu menjadi satu syarat sebelum berlepas ke negara lain, ini dapat mengelakkan penularan COVID-19 di dalam pesawat.

Bagaimanapun, katanya, kos saringan itu perlu dibayar oleh penumpang sendiri.

“Sekarang kita sedang melihat keperluan untuk membuat saringan kepada penumpang yang menjadikan lapangan terbang di negara ini sebagai transit.

“Contohnya kes pelajar yang pulang dari Melbourne yang menjadikan KLIA sebagai transit, sebelum meneruskan penerbangannya ke Kuching yang secara tidak langsung sudah menjangkiti penumpang lain.

“Ini yang kita bimbang. Kes sedang meningkat di negara lain. Jika kita jalankan syarat terbabit, sekiranya penumpang terbabit melepasi saringan, baru kita benarkan mereka meneruskan perjalanan,” katanya. Oleh M.HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.