JPJ kutip hasil RM8.5 bilion

81

27 JULAI: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengesahkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip RM8.5 bilion hasil bukan cukai bagi tahun 2018 dan 2019.

Menurut beliau, jumlah kutipan hasil keseluruhan oleh JPJ pada tahun 2018 adalah RM4.2 bilion manakala pada tahun 2019 pula adalah berjumlah RM4.3 bilion.

Ka Siong memberitahu, JPJ tidak mengutip hasil daripada sumber cukai, sama ada cukai langsung mahupun tidak langsung sebaliknya kutipan hasil jabatan berpunca daripada sumber hasil bukan cukai.

WEE KA SIONG

“Daripada jumlah hasil kedua-dua tahun berkenaan, hasil yang dikutip daripada saluran di Kaunter Fizikal JPJ adalah berjumlah RM5.02 bilion bersamaan 58.82 peratus.

“Kutipan hasil JPJ berpunca daripada sumber hasil bukan cukai seperti pembayaran fi perkhidmatan pengeluaran lesen memandu, fi perkhidmatan urus niaga pendaftaran baharu kenderaan motor, fi dikenakan ke atas pembaharuan lesen kenderaan motor dan bayaran denda atau saman,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Seremban, Anthony Loke Siew Fook mengenai jumlah hasil cukai dan hasil bukan cukai yang dipungut JPJ pada 2018 dan 2019.

Mengulas lanjut, Ka Siong menjelaskan, perkhidmatan kunter fizikal JPJ disediakan di lima JPJ Negeri; 65 di JPJ Cawangan dan 19 di JPJ UTC.

Beliau menambah, bagi saluran Online MySIKAP, JPJ pula membabitkan perkhidmatan di kiosk, Portal JPJ dan Perkhidmatan Bidaan Atas Talian atau JPJ e-BID.

“Dalam tempoh sama, sejumlah RM329 juta bersamaan 3.8 peratus dikutip menerusi saluran Online MYSIKAP JPJ dan sejumlah RM3.19 bilion atau 37.33 peratus pula dikutip menerusi saluran dalam talian oleh pihak syarikat swasta.

“Perkhidmatan yang disediakan menerusi saluran dalam talian syarikat swasta adalah termasuk saluran Perkhidmatan e-Khidmat (myEG), POS Malaysia Berhad, PUSPAKOM, Touch’N’Go, e-Payment, e-Daftar, Fi Konsesi PUSPAKOM dan Perbankan Internet,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Loke mengenai sama ada kerajaan akan melanjutkan tempoh pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) atau memberikan diskaun pengurangan fi bayaran pembaharuan lesen, Ka Siong berkata, pembaharuan LKM boleh diteruskan tetapi hanya bayaran yang ditangguhkan hingga 31 Ogos ini dan orang ramai diberi masa buat bayaran hingga 30 September.

“Mengenai diskaun perkara itu bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, cadangan itu akan dibawa kepada Kementerian Kewangan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.