Boleh balik kampung raya haji, tapi patuhi SOP

1,496

27 JULAI: Orang ramai dibenarkan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidiladha Jumaat ini kerana tiada sekatan rentas negeri dilaksanakan dalam tempoh ini.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, balik kampung dibenarkan cuma rakyat negara ini harus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan sosial.

Katanya, hari ini juga kerajaan mengeluarkan SOP panduan sambutan Hari Raya Aidiladha yang antaranya jumlah pengunjung ziarah raya pada satu-satu masa dihadkan kepada 20 orang selain tiada jamuan korban dibenarkan.

Selain itu, ujarnya, setiap masjid atau surau hanya dibenarkan mengendalikan korban tidak melebihi 10 ekor lembu dengan tertakluk kepada keluasan premis terlibat.

Jelas beliau, jumlah kehadiran sewaktu ibadat korban dijalankan ialah 20 orang untuk seekor haiwan dan ini turut meliputi petugas terlibat.

Katanya, selain itu, tidak ada kenduri korban dibenarkan tahun ini kecuali jamuan berbungkus untuk para petugas dan di pihak kerajaan amat menggalakkan jika ibadat korban dijalankan di rumah sembelihan di bawah pengawasan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Untuk memantau aktiviti sembelihan dan ziarah raya, polis akan berada di lapangan seperti mana kita lakukan sewaktu Aidilfitri dan mereka akan pantau dengan ketat.

“SOP ini terpakai untuk Wilayah Persekutuan tetapi negeri-negeri lain juga boleh menerima pakainya kerana hal ehwal Islam terletak di bawah kerajaan negeri masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau ditanya mengenai sama ada orang ramai bebas untuk pulang ke kampung sempena perayaan Aidiladha tidak lama lagi atau sebaliknya berikutan terdapat kebimbangan mengenai peningkatan kes baru COVID-19.

Mengenai khemah polis yang didakwa warganet telah dipasang di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya utama, Ismail Sabri berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya.

“Tiada sekatan rentas negeri. Boleh balik beraya. Cuma kena ingat, amalkan kawalan kendiri sepanjang masa,” katanya. –Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.