Bicara kes dana SRC RM27 juta mula 5 Julai 2021

118

27 JULAI: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tiga pertuduhan wang haram berkaitan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta bermula pada 5 Julai 2021.

Tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sepanjang bulan tersebut adalah 5 hingga 8, 12 hingga 15 dan 26 hingga 29 Julai selepas pengurusan kes hari ini.

Pengurusan kes yang seterusnya ditetapkan pada 11 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bertindak bagi pihak pendakwaan manakala Najib diwakili peguam, Nur Syahirah Hanapiah.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen tetapi kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019 selepas pihak pendakwaan membuat permohonan.

Najib juga dibicarakan atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana SRC RM42 juta dan kes itu ditetapkan untuk keputusan esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.