Tanpa masalah tayar pancit, Guan Eng hadir ke SPRM kali ketiga

242

26 JULAI: Kali ini tiada insiden tayar kereta pancit, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya seperti mana dijadualkan.

Kehadiran bekas Menteri Kewangan itu di Ibu Pejabat SPRM adalah kali ketiga bagi meneruskan proses memberi keterangan kepada badan pencegah rasuah itu.

Memetik laporan media, Guan Eng yang memakai suit dan bertali leher tiba kira-kira 10.45 pagi ditemani peguamnya yang juga Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer untuk menyambung proses keterangan berhubung projek terowong dasar laut yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kali pertama beliau hadir bagi membantu siasatan kes itu ialah pada Rabu lepas yang menyaksikan beliau meninggalkan SPRM pada 7.13 malam, kira-kira tujuh jam selepas dilihat memasuki bangunan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta beberapa Exco dan bekas Exco kerajaan negeri turut diambil keterangan oleh SPRM berhubung siasatan projek bernilai kira-kira RM6.3 bilion itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebelum ini memaklumkan siasatan projek berkenaan kini sudah di peringkat akhir siasatan.

Projek berkenaan dirancang semasa Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Berdasarkan kenyataan Azam kelmarin, Guan Eng dipanggil pada Sabtu selepas Setiausaha Agung DAP itu mempunyai cuti sakit selama dua hari.

Pada Jumaat pula kata Azam, Setiausaha Agung DAP itu mempunyai urusan lain.

Namun, kelewatan Guan Eng akibat tayar kereta dinaikinya pancit mencuri perhatian warganet yang antaranya membangkitkan kelewatan hampir tiga jam bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu ke SPRM.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.