“Tak payahlah ADUN Warisan nak berlakon suci” -PBS

384

26 JULAI: Usahlah berlagak suci kononnya menolak tawaran jutaan ringgit, tegas sinis seorang pemimpin pembangkang Sabah kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, sebab itu dakwaan wakil rakyat Warisan ditawar jutaan ringgit supaya meninggalkan parti itu hanyalah satu pembohongan.

Malah Joniston menyindir ADUN terbabit kerana sepatutnya mereka melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan buat sidang media.

“Tindakan mereka terus membuat laporan kepada media berbanding melaporkannya kepada pihak berkuasa, membuktikan wujud motif tersembunyi.

“Pemimpin Warisan perlu berhenti berlakon kononnya berperwatakan suci menolak tawaran jutaan ringgit terbabit,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Malah, kata ADUN Kiulu itu, rakyat bukan bodoh dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik yang dilihat dimainkan pemimpin parti berkenaan.

Beliau berpandangan, sekiranya benar wujud gerakan untuk mengubah pentadbiran Kerajaan Sabah, ia adalah disebabkan kerajaan sedia ada tidak kompeten dan terlalu berpolitik berbanding mentadbir serta membangunkan negeri.

“Tiada guna bercakap soal mendapatkan peruntukan besar untuk pembangunan atau membawa masuk pelaburan jika sistem penyampaiannya tidak berfungsi.

“Rakyat Sabah sudah muak dengan segala pengumuman pelaburan berbilion ringgit tetapi masih belum dilaksanakan,” katanya.

Beliau sekali gus mengingatkan Mohd Shafie bahawa kerajaan negeri diterajuinya ketika ini adalah hasil tindakan ADUN Barisan Nasional (BN) melompat parti susulan perubahan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebelum ini, Pengerusi Tetap Warisan, Datuk Liew Vui Keong, dilaporkan mendakwa wujud cubaan rampasan kuasa politik di Sabah apabila kira-kira 12 wakil rakyatnya ‘dilamar’ supaya meninggalkan parti itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.