Sempadan Malaysia Singapura dibuka seawal 17 Ogos ini

92

26 JULAI: Berita gembira buat rakyat di negara ini apabila Kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju membuka semula sempadan seawal 17 Ogos ini di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata rakyat Malaysia yang layak memohon di bawah kedua-dua skim berkenaan boleh menghantar permohonan kepada Jabatan Imigresen bermula 10 Ogos ini.

Menurut beliau, terdapat dua lagi skim turut dicadangkan iaitu rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka membabitkan lebih kurang 200,000 rakyat Malaysia dan Singapura serta pembukaan sempadan sepenuhnya.

“Untuk skim ketiga dan keempat ini, kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Ia berkait rapat soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi COVID-19 masih belum reda, dalam erti kata lain, ia memerlukan masa.

“Paling utama, kelulusan ke atas cadangan ini tertakluk kepada keupayaan kedua-dua negara melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara harian terhadap pekerja yang berulang alik,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu, kelulusan berkenaan berkait rapat dengan tahap disiplin dan pematuhan rakyat kedua-dua negara yang melaksanakan pergerakan rentas sempadan menerusi skim RGL dan PCA.

“Sekiranya rakyat kedua-dua negara patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dengan sebaiknya, barulah kita akan melihat kebarangkalian untuk membenarkan perjalanan rentas sempadan di bawah kategori ketiga dan keempat,” katanya.

Menerusi pelaksanaan skim PCA akan membenarkan penduduk Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan dapat memasuki negara terbabit untuk bekerja.

Bagi skim RGL pula ia membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara.

Sementara itu, dalam kenyataan media bersama dengan rakan sejawatnya, Dr Vivian Balakrishnan, berkata pelaksanaan RGL dan PCA itu bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan rasmi, perniagaan dan kerja antara Singapura dan Malaysia.

“Perincian bagi operasi RGL dan PCA termasuklah protokol kesihatan dan proses permohonan yang membabitkan pelancong untuk masuk dan keluar ke Singapura dan Malaysia. Ia akan dimuktamadkan dan diterbitkan tidak lama lagi.

“Kita bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara selanjutnya secara progresif bagi memulihkan perjalanan rentas sempadan untuk kumpulan lain yang secara tidak langsung dapat memastikan kesihatan dan keselamatan orang awam dari dua negara,” katanya -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.