Prasarana sedia ketatkan SOP pengangkutan awam

56

26 JULAI: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersiap sedia bagi memperketat semula prosedur operasi standard (SOP) buat pengangkutan awam jika diarahkan oleh kerajaan.

Pengerusi Kumpulannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata tindakan mengetatkan SOP itu juga termasuk mengurangkan kapasiti penumpang.

“Kita akan patuhi, tidak jadi masalah,” katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama selepas majlis meraikan ulang tahun ke-13 Rapid Penang, di Pulau Pinang hari ini.

Majlis di Ibu Pejabat Rapid Penang, Lorong Kulit ini turut dihadiri oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias, para anggota Barisan Kepimpinan Kanan (SLT) Prasarana dan ketua-ketua anak syarikat Prasarana.

Tajuddin berkata demikian ketika ditanya persediaan Prasarana sekiranya kerajaan kembali mengetatkan SOP seperti yang dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama berikutan peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

Terdahulu pada majlis itu, Tajuddin menzahirkan ucapan tahniah kepada kakitangan Rapid Penang dan berharap Rapid Penang terus menggiatkan usaha bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Katanya, ini termasuk memperkenalkan inisiatif baharu untuk menarik lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam selaras dengan aspirasi kerajaan.

“Rapid Penang akan terus menggiatkan usaha bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif baru untuk memantapkan operasi bagi menarik lebih ramai untuk menggunakan pengangkutan awam selaras dengan aspirasi Kerajaan.

“Perancangan terdekat bagi memantapkan Rapid Penang memerlukan komitmen sepenuhnya kakitangan untuk membantu syarikat melaksanakan inisiatif-inisiatif yang dirancang iaitu termasuk usaha bagi mengurangkan kos yang dilaksanakan oleh Rapid Bus,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.