PKP dilaksana jika kes baru cecah tiga angka – Ismail Sabri

467

26 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan kembali dikuatkuasakan sekiranya kes positif COVID-19 mencecah tiga angka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika kes terus meningkat, kerajaan tiada pilihan melainkan mengehadkan pergerakan rakyat menerusi PKP.

“Empat hari berturut-turut kes meningkat. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan kes meningkat disebabkan kealpaan kita sendiri.

“Kita lupa apabila kita melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang akhirnya kes semakin meningkat.

“Kita berharap tindakan kita belum lagi terlewat dan SOP untuk Aidiladha akan diumumkan esok,” katanya pada sidang media selepas melawat anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wakaf Mek Zainab di Kota Bharu hari ini.

Memetik laporan BH Online, Ismail Sabri berkata, setakat ini rentas negeri masih lagi dibenarkan melainkan ada pengumuman lain selepas ini.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai supaya menjaga diri sendiri dengan mengikut SOP ditetapkan dan tidak mengharapkan pihak berkuasa dan pasukan keselamatan.

“Kita semua patut menjadi barisan hadapan dan nasihatkan keluarga terdekat supaya mengikut SOP.

“Apa yang membimbangkan Aidiladha nanti bila acara sembelih haiwan korban, tiada jarak sosial dilakukan dan selepas itu majlis kenduri pula diadakan,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan pintu sempadan negara masih ditutup.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.